Utama > Belia > Hari Belia Negara 2009 membawa konsep 1Belia 1Malaysia

Hari Belia Negara 2009 membawa konsep 1Belia 1Malaysia

Dataran Pahlawan, Melaka

Dataran Pahlawan, Melaka

Melaka, 15 Mei – Konsep 1Belia 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2009 diyakini mempu memperkasakan golongan belia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd. Yassin berkata konsep itu menekankan hubungan lebih erat di kalangan pemimpin negara dan kerajaan adalah bertujuan melihat golongan belia turut memainkan peranan utama dalam memajukan Malaysia.

“Saya percaya dengan konsep dan pendekatan yang akan digunakan nanti, ia akan menaikkan martabat dan kedudukan belia pada tahap yang lebih tinggi daripada sebelum ini. Tambah beliau lagi, “Ini bermakna peranan belia akan menjadi lebih penting dalam dekad-dekad yang akan datang dan tentunya kita mengharapkan konsep 1Belia 1Malaysia akan mewujudkan gandingan mantap yang boleh membawa negara ke era masa depan yang lebih cemerlang.”

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Belia Negara 2009 di MITC, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 20,000 belia dari seluruh negara turut mendengar perutusan Datuk Seri Najib yang dipancarkan melalui layar putih pada majlis tersebut. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.

Menurut Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, bagi merealisasikan konsep 1Belia 1 Malaysia, kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan termasuk perwakilan majlis belia dalam usaha untuk memperkasakan program-program belia.

Sebelum perakhirnya perhimpunan tersebut adalah Majlis Penyampaian Anugerah Belia Negara 2009 yang disampaikan oleh Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd. Yassin. Antara kategori yang dipertandingkan adalah Anugerah Tokoh Belia Negara 2009 Kategori kepimpinan yang dianugerahkan kepada Mohd Nizam Omar manakala kategori persatuan dimenangi oleh Gerakan Belia 4B Cawangan kampung Paya Rumput. Masing-massing membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 dan RM10,000 serta piala dan sijil penghargaan. Tema bagi Hari Belia Negara 2009 adalah “Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan”.

– Kementerian Belia Malaysia

Kategori:Belia
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan komen