Utama > Belia > PERASAAN HASAD DENGKI DAN NILAI SEORANG SUKARELAWAN

PERASAAN HASAD DENGKI DAN NILAI SEORANG SUKARELAWAN

Telah menjadi sunnatullah, setiap manusia dicipta mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kesemuanya ini telah menjadi qadha Allah dan ketentuanNya dalam melebihkan dan mengurangkan anugerah nikmatNya terhadap hamba-hambaNya kerana Dia yang lebih mengetahui apa yang baik untuk hambaNya.

Dalam memelihara keimanan dan tingkah laku kita sebagai seorang Muslim, sepatutnya kita berasa senang dengan kesenangan dan kelebihan yang diperolehi oleh saudara kita yang lain. Tetapi, apa yang sering kita lihat, sejak dari zaman Nabi Adam lagi hingga sekarang ini, sifat iri hati dan hasad dengki seolah-olah menjadi darah daging dalam jiwa manusia. Sifat yang keji ini, jika tidak dirawati, lama kelamaan akan membawa padah yang amat buruk pada diri manusia itu sendiri dan pada masyarakat sekelilingnya.

Allah s..w.t telah menjelaskan kenyataan ini melalui firmanNya di dalam surah Ali-Imran, ayat 120, Yang bermaksud:

“Apabila kamu mendapat kebaikan, nescaya mereka akan merasa kurang senang, tetapi apabila kamu mendapat kejelekan, maka mereka pun merasa gembira ria kerananya.”


Dimanapun kita berada orang yang ada PHD (Perasaan Hasad Dengki) dan manusia yang suka berpura-pura ini sentiasa ada disekeliling kita. Mereka ini tidak senang dengan kebahagiaan orang lain. Ada saja perkara yang hendak diganggunya sehingga mangsa nya akan jatuh tersungkur dan dikala itu terasa diri mereka hebat kerana berjaya menjalankan satu misi kehancuran jiwa dan semangat orang lain.

Mereka lebih suka kedamaian ditukar menjadi jiwa kacau yang merobek kemanusiaan. Mereka lebih suka mengkritik dibelakang dari bersemuka dengan orang yang di lemparkan tuduhan tidak berasas. Seperti kata pepatah, lempar batu sorok tangan.

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin menggariskan bahawa sifat hasad dengki sebenarnya lahir apabila timbulnya rasa kurang senang dalam jiwa seseorang terhadap nikmat yang dikecap oleh orang lain. Perasaan cemburu ini lantas menjurus manusia kepada perlakuan keji dan mungkar lain lantaran begitu berharap agar nikmat yang dikecap orang lain tercabut daripada mereka.

Fenomena hasad dengki seperti ini hakikatnya cukup mengakar dalam masyarakat Melayu Islam di semua peringkat ketika ini. Dalam dunia politik umpamanya fenomena cantas-mencantas dan adu-domba bagaikan asam garam yang begitu sukar untuk dibendung. Begitu juga dalam bidang perniagaan, sikap tidak suka melihat orang lain menikmati kejayaan setanding atau melebihi diri sering kali menjurus manusia kepada budaya pertandingan yang saling jatuh-menjatuh antara satu sama lain.

Dan di dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:Ertinya:

Tiada hasad (yakni dibenarkan berhasad), melainkan dalam dua perkara sahaja, iaitu: Seseorang yang dikurniai Allah harta yang banyak, lalu ia menaburkan harta itu dalam perkara-perkara yang hak dan benar, sehinggalah hartanya habis. Dan seseorang lagi dikurniai Allah dengan ilmu pula, lalu ia mengamalkan ilmu itu serta mengajarkannya juga kepada orang ramai.”

Hasad dan dengki adalah seperti obor api yang sedang membakar dan menghancurkan masyarakat sedikit demi sedikit. Hasad dan dengki lahir dari perasaan cinta pada dunia dan lupa akan kebesaran Allah. Hasad dan dengki tidak kenal pertalian keluarga, sahabat, sukarelawan dan banyak lagi istilah yanh boleh diibaratkan kepada manusia ciptaan Ilahi ini. Berapa banyak keluarga yang runtuh kerana sifat hasad dan dengki di antara ahli keluarga tersebut. Berapa banyak oragnisasi yang musnah kerana sifat hasad dan dengki di antara ahli organisasi tersebut. Berapa banyak sahabat yang terputus silaturrahim kerana sifat hasad dan dengki di antara mereka tersebut. Adakan ini yang dipuja-puja dan kejar sebagai erti perpaduan ummah terutama Melayu-Islam. Menyedihkan….

Jika diamati secara objektif, kita akan dapati bahawa kebanyakan konflik yang melanda umat bermula dengan sikap hasad dengki yang dibiarkan menyubur dalam sanubari masyarakat. Perasaan hasad dengki ini jugalah yang mendorong umat untuk melakukan perbuatan terkutuk seperti adu-domba, fitnah-memfitnah dan berburuk sangka antara satu sama lain yang akhirnya mencetuskan konflik getir di kalangan anggota masyarakat. Seorang yang mendapat bahagian yang lebih dari harta atau kuasa atau pangkat, maka mereka yang mendapat kurang dari bahagian tersebut akan timbul perasaan hasad dan dengki dalam jiwa mereka.

Tidakkah mereka sedar bahawa manusia hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Hatta jantung yang berdegup dalam dada kita bukanlah milik kita. Bolehkah kita memastikan bahawa jantung tersebut akan sentiasa berdegup? Tidak! Kita tidak mampu. Adakah jantung tersebut milik kita atau milik Allah? Jika jantung yang begitu rapat dengan diri kita tidak dapat kita miliki dan kuasai, apatah lagi segala benda yang wujud disekililing kita. Kesemuanya adalah milik Allah. Allah menentukan siapa yang berhak merasai nikmat benda-benda tersebut. Allah akan meberikannya pada yang ahlinya sahaja. Jika tidak mampu masakan kita masih mengejar duniawi. Malulah pada Allah s.w.t!!!

Jesteru sukar bagi kita mencari siapa kawan siapa seteru. Mereka nampak sama tapi tidak serupa. Kadangkala pernahkah kita terfikir, mengapalah mereka tanpa ada sebab mengacau hidup orang lain sedangkan orang lain tidak pernah mengganggu hidup mereka.

Apa motif dan agenda sebenar dalam menjalankan `modus operandi’ yang bertopengkan sukarelawan sambil mengagungkan kualiti bila matlamatnya hanya mahu menjatuhkan seseorang. Apalah salahnya kita terima idea yang membangun, bersama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman mendidik anak bangsa dan memberi yang terbaik untuk anak bangsa kita. Tidak perlu rasanya bersaing untuk menegakkan kebenaran. Banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan. Tidakkah kita yakin pada sahabat kita? Inilah yang menjadikan politik ini kotor walhal Allah telah memberikan garis panduan.

Dalam hal yang seperti ini, kita tidak dilarang jika berhasad demi untuk mendapat kebaikan di sisi Allah, malah adakalanya dituntut oleh syara’. Firman Allah di dalam surah Al-Hadid, ayat 21: Yang bermaksud:

“Berlumba-lumbalah kamu sekelian untuk mendapatkan keampunan Tuhan Mu.”

Jika betul kita ada perasaan hasad dan dengki tersebut, maka ketahuilah bahawa sebenarnya kita merasa hasad dan dengki terhadap yang empunya nikmat tersebut iaitu Allah s.w.t, Tuhan pencipta segala sesuatu. Adakah dosa dan kobodohan yang lebih besar dari mempunyai perasaan hasad dan dengki terhadap Allah, Tuhan Pencipta alam?

Oleh itu, ELAKKANLAH dari mempunyai perasaan hasad dan dengki demi kebaikan ummah. Akhir sekali jangan ikut sedap mulut sahaja menuduh sipolan dan sipolan hanya tahu mengajar sesuatu sahaja tanpa menerapkan unsur ilmu dalam setiap tahapnya. Anda tidak tahu apa yang mereka tahu kerana anda hanya membuat andaian dari luar sahaja. Justru, never judge a book by its cover, Jangan menuduh tanpa usul periksa. Kelayakan dan kebolehan kita semua adalah sama. Jika tidak masakan kita semua berada disebuah lapangan yang cukup disegani ini.Masing-masing ada keistimewaan tersendiri dan ciri2 inilah yang membuatkan kita semua amat unik dimata masyarakat. Mungkin yang membezakan kita hanya cara penampilan dan pembawakan diri (how U carry yourself)

Jesteru itu, fahami ayat2 dibawah ini , ianya menyentuh mengenai perubahan dan tindakan.

” It takes a lot of courage to release the familiar and seemingly secure, to embrace the new. But there is no real security in what is no longer meaningful. There is more security in the adventurous and exciting, for in movement there is life, and in change there is power” (Alan Cohen).

Manakala di akhirat kelak, orang yang memiliki penyakit hasad dengki akan menanggung kerugian lebih besar, tidak tertanggung dan menempah penyesalan yang tidak terkira. Ini ke-rana dia tidak layak untuk menerima dan mendapat syafaat di samping tersisih daripada memperolehi tempat yang penuh kebaikan, kemewahan dan keberkataan di syurga Allah.

Meskipun natijah penyakit hasad dengki itu ditanggung sendiri oleh pengamalnya, namun jika tidak dikikis ataupun dibendung, ia dikhuatiri boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat. Kerana itulah kita sentiasa dianjurkan supaya berusaha menghindari diri daripada dijangkiti penyakit hasad dengki serta sifat-sifat keji yang lain seperti mengumpat, tabiat suka mencari-cari kesalahan orang lain, memfitnah dan sebagainya yang bukan sahaja merosakkan hubungan seseorang individu dengan individu yang lain, bahkan ia turut merosakkan hubungan dengan Allah sehingga boleh menyebabkan orang yang berhasad dengki itu tersisih daripada mendapat hidayat serta rahmat Allah di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 12 iaitu:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada perasaan prasangka (buruk sangka), sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu ada dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Oleh yang demikian, bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi maha pengasih sayang.”

Nilai kembali diri kita dengan bermuhasabah dan melakukan penghijrahan budaya ke arah mengurangkan konflik sesama sendiri yang berakar-umbi kepada penyakit hasad dengki. Sesungguhnya matlamat mengembalikan kegemilangan tamadun Islam tidak mungkin tercapai sekiranya masih mengakar budaya hasad dengki dalam kehidupan masyarakat. Insya-Allah!!

Kategori:Belia
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan komen